Gallery

Hakikat Doa -Jangan Gopoh

Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya; merupakan ibadah , zikrullah dan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Allah dan RasulNya mengajar orang-orang beriman supaya menggantungkan harapan sepenuhnya kepada Allah , dalam semua masa samada keadaan senang atau susah.

Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”(Ghafir: Ayat 60)

Seorang muslim hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah Taala , memohon segala  sesuatu dariNya , samada hajatnya di dunia atau di akhirat, hajat yang kecil ataupun besar.

Sepertimama doa dalam Al-Quran yang masyhur:

 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka” (Al-Baqarah Ayat 201)

Pada saat-saat tertentu, pada detik-detik tertentu langit terbuka luas, di mana doa orang yang meminta diperkenankan Allah Taala. Seperti detik sepertiga malam terakhir.

Rasullah s.a.w telah bersabda “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya” (HR Bukhari dan Muslim)

Allah Taala memberi kelebihan golongan manusia tertentu yang doa mereka diperkenankan seperti orang-orang dianiayai atau dizalimi.
Doa mereka yang dizalimi sangat mustajab.
 
Begitu juga doa orang tua terhadap anaknya atau doa anak soleh untuk kedua ibu-bapanya, mustajab doanya.

Perkara-perkara tersebut di atas diketahui umum , memang tidak sukar difahami dan dihayati.

Kesukaran dari segi kefahaman timbul apabila dikalangan orang yang berdoa merasakan seolah-olah doanya tidak dimakbulkan  Allah Taala.

Setelah berkali-kali ia berdoa kepada Allah Taala, namun doanya tidak juga diperkenankan.

Hatinya berkata-kata “Kenapa Allah Taala tidak memperkenankan doa ku? Sedangkan Allah Taala telah berfirman  “Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu “.

Hakikatnya ialah Allah Taala memperkenankan setiap doa hambaNya, cuma bila , bagaimana dan dimana doa itu diperkenankan tertentu bagi Allah Taala sahaja. Segala sesuatu berlaku mengikut perancanganNya, bukan perancangan manusia. 

Dalam kisah Nabi Yusof , ia telah bermimpi semasa kecilnya bintang, matahari dan bulan tunduk dan sujud kepadanya.

Mimpi Nabi Yusof  hanya menjadi kenyataan puluhan tahun kemudian apabila ia diangkat menjadi Menteri Kewangan di Mesir , satu tempat yang jauh, ribuan batu dari kampung halaman asalnya.

Setelah melalui berbagai peristiwa yang tidak menentu , bermula dari ia dibuang ke dalam telaga oleh adik-beradiknya sendiri, kemudian dijual sebagai hamba di Mesir, kemudian di humban kedalam penjara , barulah mimpi Nabi Yusof  menjadi kenyataan.

Itulah ketentuan Allah Taala yang menjangkau masa, peristiwa dan tempat.

Di zaman permulaan Islam di Mekah, para-para sahabat dianiayai , ditekan dan ditindas oleh kafir Quraisy.

Lantas seorang sahabat menemui Rasulullah s.a.w ketika itu  ia berada di tepi Kaabah  , memintanya supaya berdoa kepada Allah supaya memenangkan orang Islam keatas orang kafir.

Lantas Rasulullah s.a.w memberitahu kepada sahabat itu “jangan kau gopoh…”.

Hakikat doa ialah orang yang berdoa jangan gopoh. Teruskan berdoa dan bersabar menunggu jawapan dari Allah Taala.

Setiap kesusahan itu ada penghujungnya yang hanya Allah yang mengetahui bila.

Tiada pilihan kepada seorang hamba sedang berada dalam kesusahan melainkan menunggu dengan sabar dan terus berdoa dalam keadaan tunduk kepadaNya sehingga tiba ketentuan Allah.

Apa yang berlaku kepada para sahabat , Allah Taala memenangkan Islam setelah melalui perjuangan yang lama, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Bukan sehari dua, walaupun Allah mampu berbuat demikian.

Hakikat yang perlu difahami ialah doa diperkenankan Allah melalui proses sunnah alam semulajadi.

Seperti mana pekebun yang ingin menghasilkan buah, mestilah melalui proses bermula dengan menanam benih, kemudian menunggu dengan sabar benih itu keluar dari tanah menjadi pokok, kemudian menjirus pokok dengan air dan membajanya  hari demi hari sehingga pokok itu membesar dan berbuah.

Sebagaimana juga seseorang yang inginkan zuriat , tidak akan tercapai keinginannya melainkan setelah melalui proses berkahwin, bergaul dengan isterinya , kehamilan , sehinggalah seorang bayi dilahirkan.

Begitulah hakikat doa dan bagaimana ia dimakbulkan Allah. Ia bukan seperti menekan butang kecemasan, tekan saja terus jadi.

Doa memerlukan kesabaran yang tinggi , tidak putus asa dalam berdoa dan menyerahkan penyelesaian kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

Semua perkara di bawah kekuasaanNya. Lambat atau cepat bukan persoalan. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s