18 Safar 1434 H/ 31 Disember 2012
Kuala Lumpur
Aku termenung berfikir tahun baru yang akan muncul besok . Seolah-olah baru semalam menjelma tahun 2012 , dah masuk 2013 pula. Begitu pantas masa berlalu.
Tanpa disedari umurku..oh umurku dah bertambah setahun lagi.
Aku dilahirkan pada 8 Disember 1957 , tahun Merdeka.
Dalam surat beranak tertulis tarikh lahir ku mengikut kalendar Gregorian atau kalendar Masehi, kalendar yang diasaskan oleh Pope Gregory XIII yang mengira tahun dan bulan mengikut pergerakan matahari, dan pangkalnya bermula dari tarikh lahir Nabi Isa a.s
Rupa-rupanya apabila celik sahaja mataku, aku telah terdedah dengan tamadun asing, tamadun orang Kristian bila hari kelahiran ku ditulis mengikut kalendar mereka.
Kalau mengikut kalendar Gregorian , umurku pada hari ini tanggal 31 Disember 2012, ialah 55 tahun 0 bulan 23 hari .
Aku pergi ke internet untuk mencari tarikh lahirku sebenar mengikut kalendar Hijri.
IslamicFinder.org membuat perkiraan tarikh lahir ku Ahad 16 JamadilAwal 1377 Hijri.
Mengikut perkiraan islamicity.com pula tarikh lahirku jatuh pada hari Ahad 15 JamadilAwal 1377 A.H. Perkiraan mengikut arabtranslators.org tarikh lahirku ialah Ahad 15 JamadilAwal 1377 Hijriah, sama seperti perkiraan islamicity.com.
Mengambil tarikh lahir ku pada 15 Jamadil Awal 1377 Hijri , umurku pada hari ini ialah 56 tahun 9 bulan 3 hari . Dekat dua (2) tahun beza, lebih tua.
Dah tu mana satu kalendar nak pakai?
Kalendar Gregorian diasaskan pada tahun 1582 CE oleh Pope Gregory XIII pada 24 February , 1582 Ketua Gereja Kristian Katolik, kafir.
Manakala kalendar Hijri diasakan pada 638 CE (17 AH) oleh Amirul Mukminin Saidina Umar Al Khattab r.a, sahabat Rasulullah s.a.w , ahli syurga.
Mana satu nak ikut? Tidak ada pilihan bagiku, dan hanya satu pilihan saja iaitulah Kalendar Umar Al Khattab r.a, sahabat Rasulullah s.a.w , ahli syurga.
Kalau begitu kenapa pula kita orang Islam bersungguh benar meraikan kalendar Masehi, sehingga berkonsert, berparti,dan berpesta ?
Masing-masing kena jawab sendiri.
Besuk hari 1 Januari 2013, aku anggap hari biasa sahaja , satu hari dalam 365 hari setahun.
Malam ini kalau boleh aku nak tidur awal. Harap tidurku tidak terganggu dengan bunyi mercun orang menyambut tahun baru Masehi.