Gallery

Dairi Haji 2014-Bahagian 1- (8-10 Zulhijjah)

Pada tahun 1435 H bersamaan 2014 Masehi, saya bersama isteri serta dengan seorang sahabat , Tengku Sidek dan isterinya , dengan izin Allah telah pergi menunaikan ibadah haji di Mekah.

Tekad kami sebelum pergi dan ketika melakukan ibadah haji tersebut ialah untuk menjejaki manasik haji Rasulullah s.a.w. , sehampir , seboleh dan setepat mungkin.

Sebelum pergi kami telah mempelajari manasik haji Rasulullah s.a.w melalui riwayat para sahabat tentang haji Rasulullah melalui hadis-hadis sahih dan juga pendapat para ulama muktabar tentangnya.

Memahami manasik haji  satu hal, menterjemahkan dalam bentuk praktik adalah satu hal yang lain. 

Berdasarkan catitan dan gambar yang diambil , saya cuba berkongsi pengalaman haji kami dalam blog ini. Gambar-gambar yang dimasukkan di sini, ialah ehsan Tengku Sidek yang bertindak sebagai jurugambar. 

Moga-moga perkongsian ini sikit sebanyak memberi menafaat kepada yang telah pergi haji atau yang baru nak pergi untuk pertama kali.

Manasik Haji Rasullah s.a.w

Manasik haji Rasulullah s.a.w yang dimaksudkan ialah cara pelaksanaan kerja haji yang dilakukan Rasulullah dari awal hingga akhir sebagaimana  yang ia lakukannya pada haji wada’.

Semasa hidupnya, Rasulullah s.a.w hanya mengerjakan haji hanya sekali, iaitu haji wada’ pada tahun 10 Hijrah

Berlepas

Kami telah terbang ke Jeddah dengan menaiki pesawat Saudi Air pada hari Isnin 5 Zulhijjah 1435 bersamaan 29 September 2014, penerbangan haji kedua terakhir untuk musim haji 1435 H, yakni besok last flight.

Waktu berlepas 9:30 malam.

klia2

Check in time

klia1

Bye bye. Anak dan Cucu Atuk Tengku Sidek

Ihram Dalam Kapalterbang

Kira-kira sejam sebelum mendarat di Jeddah, Kapten pesawat membuat pengumuman supaya bersiap untuk berihram di miqat Qarnul Manazil.

Kami pun tukar pakaian ke pakaian ihram, menunggu saat tiba di miqat. Dalam beberapa minit sebelum melintasi miqat , kami berihlal dengan umrah sempena haji tamattu’ yang akan kami kerjakan.

Haji Tamattu’

Haji kami ialah haji tamattu’. Berbeza dengan kawan-kawan lain yang saya faham kebanyakannya mengerjakan haji Ifrad .

Kenapa haji tamattu’? Kami mengerjakan haji tamattu’ dengan mengambil pedoman dari  hadis Nabi s.a.w supaya orang pergi haji tanpa membawa binatang korban, hendaklah berhaji tamattu’.

Hadis 1

Dari Aisyah, dia berkata, “Kami keluar bersama-sama Rasulullah sebagai orang-orang yang berihlal untuk haji di dalam bulan-bulan haji, dan di dalam larangan-larangan haji. Maka kami turun di Sarif.

Lalu Nabi bersabda kepada para sahabatnya, ‘Barang siapa yang tidak ada bersamanya binatang korban, lalu ia menghasratkan bahawa ia menjadikannya sebagai umrah, maka hendaklah ia mengerjakan, dan barang siapa yang ada bersamanya binatang korban, maka tidak boleh’………….hingga akhir riwayat.

(Riwayat Muslim dan Bukhari)

Hadis 2

Dari Aisyah, bahawasanya dia berkata, “Kami keluar bersama-sama Rasulullah pada tahun haji wada’. Maka kami telah berihlal dengan umrah. Kemudian Rasulullah bersabda, ‘Barang siapa yang ada bersamanya binatang korban, maka hendaklah ia berihlal dengan haji bersama umrah, kemudian janganlah ia bertahalul sehingga ia menyempurnakan keduanya kesemuanya’ ”…..hingga akhir riwayat

(Riwayat Muslim)

Hadis 3

Dari Abu Syihab, dia berkata: Aku pergi untuk haji tamattu’ ke Mekah dengan umrah. Maka kami memasuki 3 hari sebelum hari Tarwiyah.

Lalu beberapa orang dari penduduk Mekah berkata kepadaku, “Hajimu sekarang akan menjadi seperti haji penduduk Mekah”. Maka aku pergi masuk menemui Atha’ meminta fatwa darinya, lalu dia berkata, “Jabir bin Abdullah pernah menceritakan kepadaku, bahawasanya dia pernah mengerjakan haji bersama-sama Nabi pada hari dia menggiring unta korban bersama-samanya, dan sesungguhnya mereka berihlal dengan haji ifrad.

Lalu Rasulullah bersabda kepada mereka, ‘Bertahalullah kamu dari ihram kamu dengan tawaf di Baitullah, dan di antara Safa dan Marwah, dan pendekkanlah rambut kamu. Kemudian tinggallah kamu di dalam keadaan halal sehingga apabila hari Tarwiyah, maka berihlallah kamu dengan haji, dan jadikanlah yang kamu telah mulai sebagai tamattu’ ’.

Maka mereka berkata, ‘Bagaimanakah kami menjadikannya sebagai tamattu’ sedangkan kami telah berniat dengan haji’. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Kamu lakukanlah apa yang aku perintahkan kepada kamu. Maka kalau bukan kerana bahawasanya aku telah menggiring binatang korban, pastinya aku melakukan sebagaimana yang aku telah perintahkan kepada kamu.

Tetapi belumlah menjadi halal bagiku perkara-perkara yang dilarang sehinggalah binatang korban itu sampai ke tempat penyembelihannya. Maka kamu lakukanlah’ ”.

(Riwayat Bukhari, Muslim)

Keterangan:

Hadis pertama Nabi perintahkan supaya buat umrah (yakni haji tamattu’ ) untuk siapa yang tidak bawa binatang korban.

Inilah pilihan kami kerana kami datang tanpa membawa binatang korban.

Hadis kedua Nabi perintahkan buat haji dan umrah (yakni haji qiran) untuk siapa yang bawa binatang korban.

Hadis Ketiga menerangkan perkara sama seperti hadis 1 , iaitu perintah supaya buat tamattu’ untuk siapa yang tidak membawa binatang korban.

Tiba di Jeddah

Tiba di Jeddah 30/10/14  6 Zulhijjah Selasa 12:00 tengah malam.

Dapat keluar dari airport selepas masuk waktu Subuh selepas lebih 6 jam .

Bila tiba dekat waktu Subuh, wakil Muassasah suruh jemaah kami masuk ke dalam bas, bersiap untuk bertolak ke Mekah.

“Solat subuh belum lagi , macamana ni ?”. Hati kami resah

Nasib baik ketika bas nak bertolak, azan dilaungkan. Bergegas kami turun dari bas tanpa minta permisi untuk pergi solat di airport. Phew ! Nasib baik, kalau tidak tak tau apa nak jadi dengan solat subuh. Kena solat atas bas agaknya.

Nampaknya mereka ni  tidak begitu pentingkan perintah solat. ” Apa salahnya tunggu waktu subuh, solat dahulu baru bertolak”.

“Kan kita ni hujjaj, tetamu Allah, takkan nak suruh tinggal solat pulak” kata kawan di sebelah saya. Saya mengangguk setuju.

Oleh itu bakal haji hendaklah berhati-hati dalam bab solat ni, takut tercicir bila keadaan mendesak.

Tiba di Airport Jeddah

Tiba di Airport Jeddah-Tunggu Nak Keluar

Tiba di Hotel Saraya , 6 Zulhijjah,hampir waktu Zohor , Selasa 6 Zulhijjah

Perjalanan dari Jedah ke Mekah memakan masa yang agak lama. Kami hanya sampai di hotel waktu hampir masuk Zohor.

Sempat solat Zohor di Masjidul Haram, kami terus pergi mengerjakan umrah-tawaf, saei dan bertahlul dengan memendekkan rambut. Selesai umrah ku .

Tukar Haji Qiran

Manakala setiba di Jeddah , isteri saya didatangi masyaqqah, tiba-tiba datang haid.

Maka isteri saya telah menukar hajinya kepada haji Qiran berdasarkan apa yang berlaku kepada Aishah r.a yang menghadapi situasi yang sama. Setelah sampai di Mekah, ia duduk di hotel ,tidak  ikut sekali mengerjakan umrah kerana dalam keadaan haid. 

Aishah r.a , isteri Rasulullah s.a.w telah menukar hajinya kepada haji Qiran mengikut arahan Rasulullah s.a.w apabila ia datang haid setelah ia berniat haji.

Jenis Haji

1. Haji ifrad (tunggal) : Seseorang itu berihlal di miqat dengan haji sahaja dengan mengucapkan  لبيك اللهم بحجة  kemudian ia melaksanakan amalan-amalan haji sahaja. Ia tetap di dalam keadaan ihram sehinggalah ia bertahalul dari hajinya.

2. Haji tamattu’: Seseorang itu berumrah pada bulan-bulan haji, iaitu ia berihlal dengan umrah di miqat dengan mengucapkan                  لبيك اللهم بعمرةSesampainya di Mekah ia melaksanakan manasik umrah dan bertahalul. Ia menetap di Mekah dalam keadaan halal, kemudian pada 8 Zulhijah is berihlal dengan haji dan melakukan semua manasik haji.

3. Haji qiran: Seseorang itu berihlal di miqat dengan haji dan umrah secara bersamaan dengan mengucapkan لبيك اللهم بعمرة وحجة kemudian ia melakukan keduanya di dalam satu rangkaian ibadah.

1/10/14 Rabu 7 Zulhijjah

Hari ni kosong, tidak ada aktiviti khusus, sementara menunggu besok hari Tarwiyah.

Kami sempat pergi ke pejabat Tabung Haji di Al Janadiriyyah untuk mengeluarkan wang belanja dari TH. Berjalan kaki ke sana, lebih kurang 30 minit dari Masjidil Haram.

2/10/14 Khamis 8 Zulhijjah-Hari Tarwiyah

Selepas subuh 8 Zulhijjah, hari Khamis manusia mula berpusu-pusu bergerak keluar menuju ke Mina. Dari atas hotel di Ajyad , kami nampak manusia sedang berjalan kaki beramai-ramai.

Jalan raya dari Al Haram melalui Ajyad (Jalan King Abdul Aziz) menuju ke Mina di penuhi manusia berjalan kaki, berpakaian ihram , kebanyakan menggalas beg atas belakang.

Ada yang bawa beg plastik di tangan, ada pula yang menarik suit case, dan bermacam-macam stail lagi.

Hari ini 8 Zulhijjah dikenali sebagai hari Tarwiyah.

tarwiyah-start

Pagi lepas solat subuh Khamis 8 Zulhijjah , hari Tarwiyah. Gambar depan hotel di Ajyad. Jemaah berjalan kaki beramai-ramai ke Mina.

 Kami pun bersiap memakai ihram, berihlal mengerjakan haji di luar hotel , dan terus berjalan mengikut  orang ramai.

Perjalanan kami menuju ke Mina membawa ke sebuah terowong di hujung Jalan King Abdul Aziz.

tarwiyah2-tunnel

Terowong pertama

tarwiyah3-jalan bumbung

Kawasan jalan kaki berbumbung

tarwiyah4-bumbung

Meneruskan perjalanan bersama jutaan-jutaan jemaah dari seluruh pelusuk dunia

tarwiyah5 air

Kemudahan air minum tepi jalan melalui tiang-tiang pili yang disediakan

tarwiyah7-jamarat

Berhenti rihat sekejap di tepi tiang kompleks Jamaraat

tarwiyah8-muasim

Petunjuk arah dari Jamaraat ke Moasem

Berjalan kaki dari Mekah ke Mina adalah pilihan kami sendiri, walaupun ada pilihan berkenderaan dengan menaiki kereta, GMC atau bas.  

Kerana, walaupun jarak agak jauh, berjalan kaki  dari Mekah ke Mina beramai-ramai bersama dengan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia ; dan sambil bertalbiah di sepanjang jalan, bagi kami boleh menghidupkan jiwa-jiwa yang mati.

Jarak: Mekah-Mina 8 km; Mina-Moassem 4 km;

Sepanjang perjalan kami berhenti beberapa kali untuk minum air , berehat dan mengambil gambar. 

tarwiyah9-muasim

Terowong ke Moasem. Kelihatan hujjaj negara lain berlabuh dalam terowong

tarwiyah9-kemahMuasim

Sampai di Maktab 94 Moasem, Mina. Tengahari Khamis 8 Zulhijjah

tarwiyah11-muasim

Suasana luar Maktab 94 Moasem. Khamis 8 Zulhijjah. Kelihatan jemaah haji negara-negara lain 

 Kami telah sampai di perkemahan Maktab 94 Moassem sebelum tengahari. Moasem ialah penempatan jemaah haji Malaysia di Mina.

Di sana kami bertemu dengan beberapa jemaah haji dari Malaysia-diantaranya  pakej Felda Travel, Gemilang, dan Andalusia yang telah tiba lebih awal. Terserempak pula dengan Dato Hj Daud Che Ngah, boss Andalusia.

Mereka ni ialah sebahagian kecil jemaah haji Malaysia yang pergi ke Mina pada pagi 8 Zulhijjah, sebelum seterusnya beredar ke Arafah pada keesokan harinya.

Majoriti jemaah haji Malaysia bertolak terus ke Arafah dari Mekah pada petang 8 Zulhijjah dan bermalam di Arafah pada malam itu tanpa melalui Mina.

Di perkhemahan Moasem (Mina) kami mengerjakan solat qasar (tanpa jamak) untuk zohor, asar, maghrib dan isya, serta subuh pada keesokannya. 

Bekalan makanan memang ada disediakan, oleh pihak Muassasah. Hanya perlu tunjuk teg Tabung Haji untuk mendapatkan makanan dan minuman.

Keterangan:

Pada hari Tarwiyah, 8 haribulan Zulhijah, Rasulullah s.a.w  menunaikan solat zuhur, asar, maghrib dan isyak di Mina. Dan solat subuh pada pagi 9 haribulan Zulhijah. 

Dari hadis Jabir, Jabir r.a berkata, “Dan Rasulullah s.a.w menunggang unta kenderaannya, dan dia solat di situ zuhur, dan asar, dan maghrib, dan isyak, dan subuh”. (Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah)

Rasulullah s.aw  menqasarkan solat zuhur, asar, dan isyak sebanyak 2 rakaat berjemaah bersama-sama dengan para sahabatnya.

Dari Harithah bin Wahab Al-Khuza’i r.a, dia berkata, “Nabi s.aw solat bersama kami di Mina sebanyak 2 rakaat, sedangkan kami tidak pernah dalam jumlah yang sebegitu banyak dan lebih aman dari itu”. (Bukhari)

3/10/14 Jumaat 9 Zulhijjah -Hari Arafah

Pagi 9 Zulhijjah

Selepas subuh dan setelah selesai sarapan pagi, jemaah haji Malaysia mula berkumpul di depan Maktab 94 menunggu bas untuk pergi ke Arafah.

Kami berempat tidak ada pelan khusus bagaimana hendak pergi ke arafah dari sini. Kalau tak ada kenderaan , mungkin kami jalan kaki saja.

Pegawai in charge pakej-pakej haji Malaysia telah menyedari kehadiran kami di situ, telah bermurah hati mempelawa kami naik bas bersama mereka. Alhamdulillah kami terima dengan hati terbuka.

Pagi ini kami bertolak menaiki bas Gemilang Travel. Terima kasih Gemilang.

DSC00253

Tunggu Bas ke Arafah Depan Maktab 94, Moasem, Mina.                                         Pagi Jumaat 9 Zulhijjah

DSC00252

Kemah Maktab 94 di Mina Pagi Jumaat 9 Zulhijjah

DSC00256

Dalam Bas dari Mina ke Arafah 

Perjalanan menaiki bas dari Moasem ke Arafah mengambil masa sekejap sahaja, lebih kurang setengah jam . Cepat sampai kerana bas melalui jalan khusus yang disediakan untuk bas sahaja.

Perkhemahan Malaysia terletak dihujung kawasan Arafah, tidak lebih 50 kaki dari sempadan Arafah. Terdapat papan tanda besar “Arafah Ends Here” menandakan sempadan Arafah di situ.

Kami singgah sekejap di khemah Malaysia, sambil melihat sekeliling dalam kawasan pekhemahan, dan bertanya khabar dengan jemaah lain.

Setelah itu kami beredar mencari spot yang lebih privasi di luar perkhemahan Malaysia di kawasan berdekatan. Tempat yang kami cari ialah spot redup ada tempat berteduh, berdekatan dengan tandas.

DSC00260

Dalam Kemah Zahafiz di Arafah. Waktu Dhuha Jumaat 9 Zulhijjah

DSC00263

Kawasan Kemah Malaysia di Arafah

 Pacak Khemah Sendiri

Ha! Berjumpa spot redup berhampiran dengan perkhemahan jemaah haji Indonesia.Tempat ni  terdapat pokok-pokok hijau, ada tandas berdekatan pula . Comel.

Di sinilah kami mendirikan khemah ringkas, cara d.i.y , untuk muatan dua orang.

Mudah saja untuk mendirikan khemah seperti ini ; atap dari kain geba diikat empat penjuru dengan tali ke batang pokok; hamparan menggunakan sleeping bag.

Bahan-bahan material yang digunakan semuanya kami bawa dari Malaysia. Kena ada sikit perancangan awal.

DSC00274

Buat kemah sendiri untuk 2 orang,  Arafah. Hampir waktu Zohor Jumaat 9 Zulhijjah

DSC00277

Tengku Sidek dan Isteri, Arafah

Wukuf

Tujuan kami buat khemah sendiri berjauhan dari penempatan haji Malaysia ialah untuk mendapat privasi maksima waktu wukuf.

Kalau duduk di tempat orang ramai, maklum sajalah ramai orang, sudah tentu akan ada banyak gangguan kerana berinteraksi sesama jemaah, makan, bersembang, ambil gambar dan sebagainya yang boleh menghilangkan tumpuan ibadah . 

Bila masuk waktu zohor , kami terus solat berjemaah jamak qasar zohor-asar beralaskan tanah bersama jemaah Arab yang juga berada di situ. Keadaan jemaah Arab ni lagi doif dari kami, kemah pun tak ada, pakai berteduh bawah pokok sahaja.

Lepas solat kami balik ke kemah kecil kami dan di sinilah kami duduk sambil berdoa kepada Allah sehingga matahari tenggelam.

DSC00301

Solat Zohor-Asar Jama’ Qasar. Jumaat 9 Zulhijjah

DSC00311

Berdoa ketika Wukuf

 Malam 10 Zulhijjah. Berjalan ke Muzdalifah

Setelah matahari tenggelam kami pun beredar dari bumi Arafah yang diberkati menuju ke Muzdalifah dengan berjalan kaki bersama berduyun-duyun manusia.

Laluan kami ialah pejalan kaki seluas 40 kaki, di terangi lampu-lampu dari tiang yang tinggi di kiri-kanan jalan.

Terdapat pula semburan wap air dari tiang-tiang untuk menyejukkan jemaah di sebelah kiri-kanan jalan. Tiangnya setinggi tiang lampu.

Jarak antara Arafah dan Mudzalifah:13 km

DSC00316

Lepas Maghrib Jemaah berjalan keluar dari Arafah ke Muzdalifah.                          Malam 10 Zulhijjah

DSC00322

Kemudahan Air Minum. Berenti sekejap untuk minum.                                           Malam 10 Zulhijjah

DSC00325

Jemaah haji berjalan beramai-ramai melalui lorong pejalan kaki khas yang lebar.  Malam 10 Zulhijjah

DSC00330

Semburan Air dari tiang untuk menyejukkan para hujjaj di sepanjang jalan. Malam 10 Zulhijjah

DSC00331

Separuh jalan ke Muzdalifah. Malam 10 Zulhijjah

DSC00335

Jemaah haji (bukan Malaysia) berihat di tepi jalan .

DSC00336

Kemudahan Air disepanjang jalan

DSC00338

Sebahagian jemaah haji mendukung anak kecil dan berkerusi roda.

DSC00343

Perjalanan semakin hampir ke Mudzalifah

DSC00349

Hujjaj berehat di tengah-tengah jalan

DSC00355

Teruskan berjalan kaki

 Tiba di lembah Muzdalifah pada 11.00 malam. Tak pernah saya tengok manusia berkumpul begini ramai di satu tempat, di tanah rata dan di lereng bukit penuh dengan manusia. Kebanyakan mereka sudah tidur terbaring rapat-rapat.

Kami solat jamak qasar Maghrib-Isya di sini dan terus berlabuh tidak sedarkan diri di sini hingga  ke subuh di celah-celah jutaan manusia.

DSC00357

Keadaan manusia di Lembah Muzdalifah. Malam 10 Zulhijjah

DSC00361

Tidur di Mudzalifah

  10 Zulhijjah-Hari Nahar

Setelah solat subuh , kami tunggu sekejap sehingga cerah-cerah tanah sebelum beredar ke Mina.

Terdapat hadis Rasulullah s.a.w tentang fadhilat perbuatan duduk sekejap (wukuf) selepas subuh hingga cerah tanah di bumi Muzdalifah.

Dari Urwah bin Mudaris, dia berkata, “Aku melihat Rasulullah berwukuf di Muzdalifah, lalu dia bersabda, ‘Barang siapa yang menunaikan solat bersama-sama kami solat kami ini, yakni solat subuh, di sini, kemudian ia berdiri bersama kami sedangkan ia telah wukuf sebelum ini di Arafah, pada malam atau siang, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan hajinya’ ”. (An-Nasa’i)
DSC00367

Solat subuh. Pagi 10 Zulhijjah di Lembah Muzdalifah

DSC00374

Duduk sebentar (wukuf) di Muzdalifah selepas solat subuh

DSC00378

Bersiap untuk ke Mina. Waktu subuh cerah tanah.

DSC00384

Hujjaj bergerak ke Mina . Sabtu 10 Zulhijjah

DSC00399

Kutip batu antara Mudzalifah dan Mina

DSC00416

Melalui Jalan Suk Al Arab menuju ke aras bawah Jamaraat.

DSC00417

Menghampiri Jamaraat dari arah Muzdalifah

DSC00426

Jamaraat dari arah Muzdalifah

DSC00429

Jamaraat tingkat bawah

DSC00434

Melintasi Jamrah Ula

DSC00446

Tanda arah di Jamaraat

DSC00443

Big Jamrah. Jamrah Aqabah, 10 Zulhijjah

DSC00444

Melontar Jamaratul Kubra.Waktu Dhuha 10 Zulhijjah

Balik ke Mekah

Selepas selesai melontar di Jamrah Aqabah waktu dhuha, kami berpatah balik ke Mekah  mengikuti jalan yang sama kemari pada hari Tarwiyah , untuk mengerjakan tawaf ifadhah dan saei.

Tadi setelah selesai melontar ,Tengku Sidek telah menerima panggilan telefon dari kawan yang menguruskan sembelihan korban, “Korban yang anta pesan telah selamat dilaksanakan”. Alhamdulillah.

Tujuan kami balik ke Mekah ialah untuk mengerjakan tawaf ifadhah dan saei .

DSC00450

Berjalan balik ke Mekah untuk mengerjakan tawaf ifadhah dan saei.

DSC00456

Menghampiri terowong ke Masjidil Haram

DSC00473

Keadaan Sa’i 10 Zulhijjah

Setelah selesai sai’ dalam waktu Asar , kamipun bercukur. Alhamdulillah selesai sudah tahlul thani kami.

Saya perasan tanda harga bercukur di kedai gunting rambut sudah naik dua kali ganda dari sebelumnya. Mula-mula sampai dulu harganya 10 riyal, sekarang sudah naik 20 riyal.

“Dua hari lagi , harga akan turun balik 10 riyal” kata tukang gunting keturunan India kepada saya, bila saya tanya kenapa harga sudah naik. “Ini dasar kapitalis” kata ku dalam hati.

Catitan ringkas manasik hajiku  sehingga selesai tahlul thani pada petang 10 Zulhijjah.

1. Berihlal umrah di miqat atas kapalterbang pada 6 Zulhijjah.

2. 7 Zulhijjah-sampai di Mekah.Terus buat umrah.

3. 8 Zulhijjah- Hari Tarwiyah

  • Berihlal haji di Mekah.
  • Bermalam di Mina.
  • Solat 5 waktu di Mina-zohor,asar, maghrib , isyak dan subuh. Solat zohor, asar, isyak secara qasar.

4. 9 Zulhijjah-Hari Arafah

  • Bertolak dari Mina ke Arafah waktu pagi.
  • Wukuf setelah gelincir matahari.
  • Solat zohor dan asar secara jamak qasar dalam waktu zohor.
  • Keluar dari Arafah menuju Muzdalifah selepas matahari terbenam.

5. 10 Zulhijjah-Hari Nahar

  • Malamnya tidur di Muzdalifah.
  • Solat maghrib-isya jamak qasar dalam waktu isya di Muzdalifah.
  • Tunggu sebentar (wukuf) selepas solat subuh, sebelum bertolak ke Mina.
  • Kutip batu dalam perjalanan dari Muzdalifah ke Mina.
  • Melontar Jamrah Aqabah waktu dhuha.
  • Korban.
  • Tawaf ifadhah, saei dan bercukur.
  • Tahlul thani.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s