Gallery

Dairi Haji 2014-Bahagian 2- (11-13 Zulhijjah)

Pada tahun 1435 H bersamaan 2014 Masehi, saya bersama isteri serta dengan seorang sahabat , Tengku Sidek dan isterinya , dengan izin Allah telah pergi menunaikan ibadah haji di Mekah.

Tekad kami sebelum pergi dan ketika melakukan ibadah haji tersebut ialah untuk menjejaki manasik haji Rasulullah s.a.w. , sehampir , seboleh dan setepat mungkin.

Sebelum pergi kami telah mempelajari manasik haji Rasulullah s.a.w melalui riwayat para sahabat tentang haji Rasulullah melalui hadis-hadis sahih dan juga pendapat para ulama muktabar tentangnya.

Memahami manasik haji  satu hal, menterjemahkan dalam bentuk praktik adalah satu hal yang lain. 

Berdasarkan catitan dan gambar yang diambil , saya cuba berkongsi pengalaman haji kami dalam blog ini. Gambar-gambar yang dimasukkan di sini, ialah ehsan Tengku Sidek yang bertindak sebagai jurugambar. 

Moga-moga perkongsian ini sikit sebanyak memberi menafaat kepada yang telah pergi haji atau yang baru nak pergi untuk pertama kali.

Manasik Haji Rasullah s.a.w

Manasik haji Rasulullah s.a.w yang dimaksudkan ialah cara pelaksanaan kerja haji yang dilakukan Rasulullah dari awal hingga akhir sebagaimana  yang ia lakukannya pada haji wada’.

Semasa hidupnya, Rasulullah s.a.w hanya mengerjakan haji hanya sekali, iaitu haji wada’ pada tahun 10 Hijrah.

Bahagian 2

11 Zulhijjah-Hari Tasyrik 1

Ketika matahari terbenam pada 10 Zulhijjah, kami sedang berada di Mekah , setelah selesai mengerjakan tawaf , saei ifadhah dan bercukur untuk menyempurnakan tahlul thani.

Pulang ke Mina untuk Melontar dan Mabid. Malam 11 Zulhjjah

 Selepas Isya kami bertolak balik ke Mina dengan menaiki kereta sewa jenis GMC yang dipandu oleh seorang lelaki Arab . 

Bila ditanya berapa tambang, drebar menjawab :  “100 riyal”. Tempat duduk di seat tengah belakang drebar . Drebar tak henti-henti ambil penumpang, sehingga sarat penuh tak boleh nak bernafas.

Saya dapat tahu tambangnya pula tak pakai flat rate. Duduk di depan lebih mahal dari duduk di tengah. Tengah lebih mahal dari belakang. Belakang lebih mahal dari atas bumbung.

Di hadapan sana kelihatan sebuah van muat penumpang hingga ke atas bumbung.

Melihat kereta dan van bawa penumpang dua tiga kali ganda had muatan, saya membuat konklusi polis trafik Mekah sudah tidak lagi beroperasi pada waktu ini.

DSC00490

Malam 11 Zulhijjah.  Jemaah pulang ke Mina. Jalan penuh sesak dengan kenderaan dan manusia berjalan kaki. Pandangan biasa melihat van sarat dengan penumpang hingga ke atas bumbung.

DSC00493

Pandangan dari dalam GMC semasa pulang ke Mina. Malam 11 Zulhijjah.

Berpecah dan ” ‘Ala Tul”

GMC turunkan kami sebelum masuk terowong di Jalan King Khalid , di pinggir Mina. Dimana di sinilah had yang dibenarkan  kenderaan masuk ke Mina. 

Maka kami terpaksa teruskan dengan berjalan kaki untuk sampai ke kemah di Moasem yang jaraknya kira-kira 4 km kedepan.

Ketika memasuki terowong, saya kerap menoleh kebelakang mencari Tengku Sidek dan isteri , tetapi mereka tidak kelihatan. Kami berhenti beberapa ketika untuk menunggu mereka. Tapi mereka tidak juga muncul. Jadi saya dan isteri mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan menuju ke Moasem tanpa mereka berdua.

Inilah pertama kali kami berempat berpecah. Tanpa Tengku Sidek  kami kehilangan penunjuk arah yang mahir. Maka terpaksalah kami mencari jalan sendiri ke Moasem.

Untuk sampai ke Moasem kami terpaksa beberapa kali bertanya arah dari anggota keselamatan Saudi yang sedang bertugas.

“Aina Moasem” tanya ku.  Entah dia faham ke tidak pertanyaanku.

” ‘Ala tul” jawab anggota keselamatan Saudi sambil menunjuk dengan tangannya ke arah depan. Setiap kali saya berhenti bertanya, saya dapat jawapan yang sama , ” ‘ala tul”. Setelah beberapa kali ” ‘ala tul” kami sampai juga di kemah Moasem jam 12.00 tengah malam. Alhamdulillah.

Dan sebagaimana yang saya jangka Tengku Sidek dan isteri belum lagi sampai. Mereka hanya sampai di kemah lebih kurang 2 jam kemudian. Tengku Sidek menceritakan bahawa isterinya telah mengalami kecederaan di kaki , tak boleh berjalan dan terpaksa naik kerusi roda yang disewa dengan harga 200 riyal.

Pelajaran dari peristiwa kecil ini ialah untuk berjalan secara berkumpulan hendaklah:

  • setiap individu bersedia menempuh perjalanan bersendirian sekiranya berpecah dari kumpulan.
  • jangan malu untuk bertanya supaya tidak sesat jalan.
  • sentiasa ada duit dalam poket untuk belanja kecemasan.

Tahu beberapa patah bahasa Arab jelas memberi kelebihan. ” ‘Ala tul” maksudnya “terus ke depan” atau “straight ahead”. 

DSC00508

Malam 11 Zulhijjah di Mina. Pandangan atas jambatan King Khalid.

Berkemah di Maktab 94 Moasem

Bila sampai sampai di Maktab 94, kamipun terus ke kemah Zahafiz (pakej haji kami), untuk menginap selama 3 malam di sini. Kemah ni sepatutnya kosong tanpa penghuni kerana semua jemaah Zahafiz (kecuali kami berempat) tidak duduk di sini pada hari-hari tasyrik. Mereka memilih untuk berulang alik dari Mekah ke Mina tiap-tiap hari .

Bila masuk kekemah kami dapati kemah Zahafiz ini telah di duduki oleh pasukan Tabung Haji, bilangan mereka 10 orang lebih.Kemah Zahafiz telah dijadikan penempatan pegawai pemantau TH, yang ditugaskan untuk memantau pergerakan pakej-pakej swasta.

Maka tinggallah kami 3 malam di sini bertemankan pasukan TH dalam dua buah kemah yang lega. Beberapa belas orang menghuni dua buah kemah, memang lega sakan kerana muatan biasa sebuah kemah ialah 30 orang atau lebih. Kami rasa cukup selesa di sini, rasa macam VIP . Dalam masa yang sama, saya nampak bagaimana TH mengawal jemaah haji dengan cara yang efisen.

DSC00518

Dalam kemah Zahfiz bersama pegawai pemantau TH. Ahad 11 Zulhijjah.

 Jalan alternatif ke Jamaraat

Sebelum masuk waktu zohor 11 Zulhijjah , kami mula berjalan kaki menuju ke Jamaraat melalui Jalan 608-Jalan 25-Jalan Suq al Arab Road untuk pergi ke tingkat bawah Jamaraat.

Image 1-9-15 at 6.25 pm

Laluan alternatif ke tingkat bawah Jamaraat warna merah. Laluan biasa jemaah haji Malaysia ke tingkat 3 warna kuning.

Laluan biasa yang di ambil jemaah Malaysia ke Jamaraat , melalui dua buah terowong, jaraknya lebih singkat , tetapi jemaah hanya boleh memasuki Jamaraat di tingkat 3 .

Jalan yang kami pilih walaupun lebih jauh, tetapi membolehkan kami masuk terus ke tingkat bawah. Kami solat zohor dalam perjalanan secara qasar tanpa jamak.

DSC00534

Jalan menuju ke Jamaraat . 11 Zulhijjah.

DSC00536

Di Jalan 25 menuju ke Syari’ Al Arab, hala kekanan, turun ramp ke bawah . 11 Zulhijjah.

DSC00543

Solat tepi jalan. Syari’ Suq Al Arab. Ahad 11 Zulhijjah.

 Melontar Zohor 11 Zulhijjah

Kami mula melontar di Jamaraat selepas masuk waktu zohor, bermula dari Jamrah Ula, di ikuti Jamrah Wusta dan diakhiri Jamrah Aqabah.

Keadaan di tempat melontar lega dan terkawal, yang membolehkan kami pergi rapat ke tepi tembok Jamrah untuk melontar batu ke dalam kawah . 

Kami mengambil posisi tengah jamrah untuk melontar, supaya dapat melontar di titik asal jamrah , kerana asalnya (sebelum pembesaran) jamrah berbentuk bulat dan kecil .

Selepas pembesaran , ketiga-tiga jamrah sekarang berbentuk leper membujur dan berkali-kali ganda lebih panjang . 

Antara jamrah ke jamrah, kami berhenti untuk berdoa sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. 

Dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah melakukan tawaf ifadah pada akhir harinya apabila dia mengerjakan solat zuhur.

Kemudian Rasulullah kembali ke Mina, lalu dia diam di sana pada malam-malam hari tasyrik.

Dia melontar jamrah apabila matahari telah tergelincir.

Setiap jamrah dengan 7 biji batu kerakal. Rasulullah bertakbir bersama setiap batu kerakal. Dan Rasulullah berdiri di sisi jamrah pertama dan di sisi jamrah kedua, lalu Rasulullah memperpanjangkan waktu berdiri itu, lalu Rasulullah berdoa menyerah diri kepada Allah dengan rendah hati.

Dan Rasulullah melontar jamrah yang ketiga, tidaklah dia berdiri di sisinya”.

(Abu Daud, Ahmad, Al-Hakim, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi)

Rasulullah tidak berhenti untuk berdoa selepas melontar jamrah ketiga (jamrah Aqabah) seperti hadis di atas.Rasulullah melontar pada ketiga-tiga hari tasyrik apabila matahari telah tergelincir atau setelah masuk waktu zuhur.
 

Dari Jabir, dia berkata, “Nabi melontar pada hari Nahar pada waktu duha. Dan dia melontar selepas itu setelah matahari tergelincir”. (Bukhari, Muslim, Abu Daud, An- Nasa’i, At-Tirmizi, Al-Baihaqi, Ibnu Majah, Ahmad, Ad-Daruquthni)

DSC00556

Melontar Jamraat di tingkat bawah. Hari Tasyrik Ahad 11 Zulhijjah

DSC00559

Melontar di Jamrah. 

DSC00557

Berdoa selepas melontar di Jamrah Ula dan Wusta. 11 Zulhijjah.

12 dan 13 Zulhijjah -Hari Tasyrik 2 dan 3

Kami telah memilih untuk mengerjakan nafar thani , dengan terus bermalam di Mina pada malam 12 dan 13 Zulhijjah dan melontar di ketiga-tiga jamrah pada siangnya.

Pada hari tasyrik kedua dan ketiga kami pergi melontar di Jamaraat seperti telah dilakukan pada hari 11 Zulhijjah  yang lalu – berjalan mengikut laluan sama; melontar di tingkat bawah ; waktu selepas gelincir matahari.

Pada 13 Zulhijjah, kami dapati suasana di tempat melontar begitu lengang kerana majoriti jemaah haji telah pulang sehari sebelum setelah melakukan nafar awal .Yang tinggal hanya segelintir sahaja.

DSC00779

Melontar pada 13 Zulhijjah (hari Tasyrik 3)

DSC00777

Suasana lengang ketika melontar. 13 Zulhijjah.

DSC00774

Jamaraat. 13 Zulhijjah.

Meninggalkan Mina. 13 Zulhijjah

Selepas solat Asar 13 Zulhijjah di tepi Jamaraat, dengan hati yang berat kami meninggalkan bumi Mina , pulang ke Mekah menaiki van sewa yang tambangnya beberapa rial sahaja.

DSC00800

Gambar hiasan. Bas kuning untuk balik ke Mekah.

Maka selesailah manasiik haji kami untuk tahun ini. Doa kami ialah untuk kembali semula ke sini dengan izin Allah jua.

Ringkasan Manasik Haji

Ringkasan manasik hajiku dari 8 Zulhijjah sehingga selesai pada 13 Zulhijjah ialah:

1. Berihlal umrah di miqat atas kapalterbang pada 6 Zulhijjah.

2. 7 Zulhijjah-sampai di Mekah.Terus buat umrah.

3. 8 Zulhijjah- Hari Tarwiyah

  • Berihlal haji di Mekah.
  • Bermalam di Mina.
  • Solat 5 waktu di Mina-zohor,asar, maghrib , isyak dan subuh. Solat zohor, asar, isyak secara qasar.

4. 9 Zulhijjah-Hari Arafah

  • Bertolak dari Mina ke Arafah waktu pagi.
  • Wukuf setelah gelincir matahari.
  • Solat zohor dan asar secara jamak qasar dalam waktu zohor.
  • Keluar dari Arafah menuju Muzdalifah selepas matahari terbenam.

5. 10 Zulhijjah-Hari Nahar

  • Malamnya tidur di Muzdalifah.
  • Solat maghrib-isya jamak qasar dalam waktu isya di Muzdalifah.
  • Tunggu sebentar (wukuf) selepas solat subuh, sebelum bertolak ke Mina.
  • Kutip batu dalam perjalanan dari Muzdalifah ke Mina.
  • Melontar Jamrah Aqabah waktu dhuha.
  • Korban.
  • Tawaf ifadhah, saei dan bercukur.
  • Tahlul thani.

6. 11 ,12, 13  Zulhijjah-Hari Tasyrik 1,2 dan 3

  • Bermalam di Mina
  • Melontar di ketiga-tiga jamrah pada siangnya .             Waktu melontar selepas zohor.                                         Tempat melontar: tingkat bawah.
  • Melakukan Nafar thani.
  • Solat qasar waktu zohor, asar dan isyak semasa di Mina.
  • Meninggalkan Mina selepas asar 13 Zulhijjah

Gambar Lama Jamaraat 

Jamrah Wusta 1325H (1904-Zaman Khilafah Uthmaniah). Bentuk bulat.

Gambar lama Jamrah Aqabah (Kubra). Perhatikan di belakang tiang adan dinding batu. Pada masa itu orang melontar mengadap ke  dinding sahaja. Sebelah belakang dinding terdapat kawasan berbukit tempat jemaah haji berkemah. Tiada lontaran dari sisi bukit.

Gambar lama Jamrah Sughra (Ula). Bentuk bulat dengan tiang di tengah

Jamrah Aqabah tahun 1980an. Bentuk separuh bulat . Kelihatan dinding putih di belakang tiang. Dinding menghalang jemaah haji melontar dari arah belakang ,

Tidak dapat di tentukan samaada Jamrah Sughro atau Wusto. Gambar tingkat bawah tahun 2000.

Sama gambar di atas dari sudut lain.

Gambar kawah tingkat satu Jamrah Sughra (Ula) atau Wusta. Tahun 2000.

Gambar tahun 2000 menunjuk Jamrah Aqabah di tingkat bawah. Perhatikan cahaya putih (atas) berbentuk separuh bulat. Dinding dibelakang tiang telah ditiadakan, satu perubahan yang ketara.

Advertisements

One response to “Dairi Haji 2014-Bahagian 2- (11-13 Zulhijjah)

  1. Saya amat tertarik dengan catatan anda semasa mengerjakan haji 2014. Syabas sy ucapkan kerana menunaikan ibadah haji mengikut tuntutan Rasulullah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s